Sunday, November 7, 2010

AMALAN-AMALAN UTAMA 10 AWAL ZULHIJJAH


a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban".
Maksud Firman Allah SWT:"Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
(sumber: www.zaharuddin.net)

Thursday, October 14, 2010

IBADAH QURBAN


"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu ( wahai muhammad ) kebaikan yang banyak ( di dunia dan di akhirat ) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya )".
( Surah al-Kausar : 1-3 )

Pengertian Ibadah Qurban
Korban dari sudut istilah ialah menyembelih binatang tertentu *(Binatang-binatang an’am ( ternakan ) seperti unta, lembu dan kerbau, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya) dengan niat taqarrub kepada Allah pada masa-masa tertentu *(pada Hari Raya Korban ( 10 Zulhijjah ) dan 3 hari Tasyrik ( 11, 12, 13 Zulhijjah) bermakna mengikut kalendar tahun ini bersamaan pada 17,18,19 dan 20 November 2010.

Hukum Ibadah Qurban
Hukum ibadat korban itu adalah sunat mu’akkad iaitu yang sangat dituntut kepada mereka yang berkemampuan

Hikmah Ibadah Qurban
1.Melatih dan membentuk mentaliti kaum Muslimim supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain.
2.Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala
3.Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat
4.Sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah ( تَقَرُّبْ إِلى اللهَ )
5.Menghidupkan sirah nabi Ibrahim yang kemudian disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi syiar ibadah yang utama bagi kaum muslimim.
6.Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya

Tuesday, August 10, 2010

KESEMPURNAAN IBADAH PUASA


Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:

• Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.

• Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'

• Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram."
(Surah Al-Maidah:42)

• Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

• Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

(sumber: Jabatan Mufti Melaka)

Sunday, April 4, 2010

RUMAHKU SYURGAKU


Maksud At-Tahrim: Ayat- 6: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Mari kita bina keluarga kita:
1.Meningkatkan ilmu pengetahuan pada seisi rumah itu.
2.Penghayatan agama yang berterusan.
3.Memastikan seisi rumahtangga dalam keadaan sihat sejahtera dan aman damai.
4.Perlu adanya pengukuhan ekonomi.
5.Komunikasi yang cemerlang.
6.Wujudnya kemesraan antara suami dan isteri.
7.Suasana rumahtangga yang selesa.

Tuesday, March 2, 2010

SALAM MAULIDUR RASUL


Maksud Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.

Tanda taat dan kasih sayang kita kepada Rasululullah SAW:

1. Pelaksanaan dengan penuh taat segala perintah Allah dan Rasulullah SAW.

2. Mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan.

3. Memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian.

4. Mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW; dan

5. Membanyakkan ucapan selawat dan salam kepada Nabi SAW



RINDUKU YA RASULULLAH..

Ketika manusia hilang arah
Ketika manusia tiada erti kemanusiaan
Ketika manusia bunuh anak hidup-hidup
Ketika manusia menghamba pada berhala
Dan pada ketika itu
Tanggal 12 rabiul awwal
Kau lahir membawa sinar
Kau datang membawa rahmat ke seluruh alam

Kini
Meskipun berabad telah berlalu
Rinduku padamu takkan hilang
Rindu pada suri teladan yang kau berikan
Seorang ayah penuh santun dan kasih sayang
Seorang suami yang penuh tanggungjawab
Seorang pemimpin yang prihatin dan berwawasan
Seorang rasul yang agung cintanya pada umatnya
Meskipun dipertaruhkan jiwa dan nyawanya

Layakkah kita sebagai umatmu
Lupakan sunnah utamakan nafsu serakah
Melampaui di dunia melupai akhirat sana
Ada hasad di jiwa walaupun pada saudara seagama
Utamakan benda walaupun bersifat sementara

Ya Rasulullah
Cahaya sunnahmu takkan redup hingga akhir zaman
Khazanah peninggalanmu pasti untuk kebahagiaan

Ya Rabb
Berilah kami kekuatan
Agar kehidupan kami diikat dengan sunnahnya
Getar jiwa kami tunduk dan patuh pada ajarannya
Basah bibir kami rindu selawat ke atasnya
Kesudahan hidup kami dilimpah syafaat darinya

Abu Alif Fathi
Bangi…..
030310

Monday, February 1, 2010

MENJADI TETAMU ALLAH


“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk” (Q.S. al-Taubah (9): 18)

Orang-orang yang beriman akan senantiasa memenuhi masjid/surau dalam rangka beribadah kepada Allah Swt. Mereka akan mendatangi masjid/surau setiap kali muaazin mengumandangkan panggilan untuk menunaikan shalat berjamaah (azan)

Masjid/surau adalah tempat turunnya rahmat Allah Swt. Oleh sebab itu, masjid/surau dalam pandangan Islam adalah tempat yang paling mulia dan baik di permukaan bumi. Umat Islam menemukan ketenangan hidup dan kesucian jiwa, karena di sana terdapat majlis-majlis dan forum-forum terhormat. Masjid/surau adalah institusi paling penting untuk membina masyarakat. Di masjid/surau kesatuan dan persatuan ditumbuh-suburkan.

Dengan menghadirkan diri ke majid/surau untuk menunaikan solat 5 waktu kita telahpun meletakkan diri kita untuk menjadi tetamu Allah semasa hidup di dunia ini lagi. Pernahkan kita terfikir sekiranya semasa hidup di dunia ini kita enggan untuk menjadi tetamu Allah adakah kita akan terpilih untuk menjadi tetamu Allah di akhirat nanti? Biasakanlah diri menjadi tetamu Allah semasa hidup di dunia ini dengan menghadirkan diri ke masjid/surau mudah-mudahan dengan membiasakan diri untuk menjadi tetamu Allah di dunia kita akan terpilih untuk menjadi tetamu Allah di akhirat. Orang yang semasa hidup di atas dunia ini tidak mahu menjadi tetamu Allah mungkin tidak akan berpeluang untuk menjadi tetamu Allah di hari akhirat nanti. Bagaimana Allah akan memilih kita untuk menjadi tetamuNya di akhirat jika sekiranya sewaktu hidup di dunia ini kita langsung tidak mahu berusaha untuk menjadi tetamuNya dengan menghadirkan diri ke rumahNya?

Setiap manusia yang hidup pasti menemui kematian untuk menerima perhitungan amal. Sebelum amal kita dihitung dihadapan Allah maka marilah sama-sama kita melazimkan diri menjadi tetamu Allah semasa hidup di dunia ini mudah-mudahan dengan menjadi tetamu Allah di dunia ini kita akan terpilih untuk menjadi tetamu Allah di hari akhirat nanti suatu hari yang tidak berguna harta benda dan anak-pinak . Oleh itu renungkanlah kata-kata ini "Mampukah Menjadi Tetamu Allah Di Akhirat Seandainya Tidak Mahu Menjadi Tetamu Allah Di Dunia??"

MARI KITA IMARAHKAN SURAU AR-RAUDHAH...