Wednesday, March 30, 2011

JADUAL KURSUS HAJI DAN UMRAH 2011

PEMBIMBING : DATO US HAJI MD DAUD CHE NGAH
MASA: 8.00 MALAM – 10.00 MALAM (LEPAS MAGHRIB)
TEMPAT: SURAU AR-RAUDHAH TAMAN BANGI VILLA, PEKAN BANGI

SIRI 1 - 12 MAC 2011
SIRI 2 - 19 MAC 2011
SIRI 3 - 2 APRIL 2011
SIRI 4 - 9 APRIL 2011
SIRI 5 - 16 APRIL 2011
SIRI 6 - 30 APRIL 2011
SIRI 7 - 7 MEI 2011
SIRI 8 - 14 MEI 2011
SIRI 9 - 21 MEI 2011
SIRI 10- 4 JUN 2011
SIRI 11- 11 JUN 2011
SIRI 12- 18 JUN 2011
SIRI 13- 2 JULAI 2011
SIRI 14- 9 JULAI 2011

NOTA:
a. Kursus ini merupakan majlis ilmu terbuka kepada semua sama ada sebagai jemaah haji/umrah di bawah Tabung Haji ataupun mana-mana agensi swasta
b. Kursus ini menggunakan Modul Panduan Haji & Umrah tulisan Yg Bhg Dato Us Hj Md Daud Che Ngah
c. Pihak kami masih mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menambahkan ilmu dan kemahiran dalam mengerjakan haji/umrah untuk mengikuti kursus ini

Wednesday, January 26, 2011

MAJLIS PERASMIAN SURAU AR-RAUDHAH

Assalamualaikum wr. wh

Ahli Jawatankuasa Surau Ar-Raudhah dengan segala hormatnya menjemput Dato/Datin/Tuan/Puan dan para penderma

Ke majlis Perasmian Surau Ar-Raudhah yang akan diadakan pada:

Tarikh : 30 Januari 2011 (Ahad)
Tempat: Surau Ar-Raudhah Jln Bangi Villa 3, Taman Bangi Villa
Perasmi: Yang Berbahagia,Dato’ Wan Mohamad Bin Dato' Sheikh Abd Aziz (Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)


Antara Tentatif Program:

5.15 petang - Majlis Perasmian Surau (lepas Solat Asar)
6.30 petang - Jamuan
8.00 malam - Tazkeerah oleh Yg Bhg Dato Wan Mohamad Bin Dato' Sheikh Abd Aziz

9.00 malam - Forum Ehwal Islam
Panel: Dato Us Hj Daud Che Ngah dan Us Mohd Farhan al-Hafiz
Tajuk: Rasulullah Teladan Unggul

PERTANDINGAN AZAN

Sempena Perasmian Surau, akan diadakan pertandingan azan:

TARIKH: 30 JANUARI 2010
MASA: 2.30 PETANG
TEMPAT: SURAU AR-RAUDAH

Sijil Penyertaan dan hadiah akan diberikan kepada pemenang. Anak tuan/puan dialu-alukan menyertai pertandingan berkenaan.

Sesiapa yang berminat sila hantar sms:

azan (space) nama penuh (space) umur , dan hantarkan ke
013-3372120 (Us Adib)

Sunday, November 7, 2010

AMALAN-AMALAN UTAMA 10 AWAL ZULHIJJAH


a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban".
Maksud Firman Allah SWT:"Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
(sumber: www.zaharuddin.net)

Thursday, October 14, 2010

IBADAH QURBAN


"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu ( wahai muhammad ) kebaikan yang banyak ( di dunia dan di akhirat ) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya )".
( Surah al-Kausar : 1-3 )

Pengertian Ibadah Qurban
Korban dari sudut istilah ialah menyembelih binatang tertentu *(Binatang-binatang an’am ( ternakan ) seperti unta, lembu dan kerbau, kambing, biri-biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya) dengan niat taqarrub kepada Allah pada masa-masa tertentu *(pada Hari Raya Korban ( 10 Zulhijjah ) dan 3 hari Tasyrik ( 11, 12, 13 Zulhijjah) bermakna mengikut kalendar tahun ini bersamaan pada 17,18,19 dan 20 November 2010.

Hukum Ibadah Qurban
Hukum ibadat korban itu adalah sunat mu’akkad iaitu yang sangat dituntut kepada mereka yang berkemampuan

Hikmah Ibadah Qurban
1.Melatih dan membentuk mentaliti kaum Muslimim supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain.
2.Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wataala
3.Dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang-binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat
4.Sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah ( تَقَرُّبْ إِلى اللهَ )
5.Menghidupkan sirah nabi Ibrahim yang kemudian disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi syiar ibadah yang utama bagi kaum muslimim.
6.Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya

Tuesday, August 10, 2010

KESEMPURNAAN IBADAH PUASA


Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan batiniyah puasa itu, antara lain seperti berikut:

• Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, serta melalaikannya daripada mengingati Allah s.w.t.

• Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong, mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria'

• Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah s.w.t. telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram."
(Surah Al-Maidah:42)

• Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian pula menahan perut daripada makan makanan syubhah waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia memakan makanan yang haram.

• Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci Allah s.w.t. daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

(sumber: Jabatan Mufti Melaka)

Sunday, April 4, 2010

RUMAHKU SYURGAKU


Maksud At-Tahrim: Ayat- 6: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Mari kita bina keluarga kita:
1.Meningkatkan ilmu pengetahuan pada seisi rumah itu.
2.Penghayatan agama yang berterusan.
3.Memastikan seisi rumahtangga dalam keadaan sihat sejahtera dan aman damai.
4.Perlu adanya pengukuhan ekonomi.
5.Komunikasi yang cemerlang.
6.Wujudnya kemesraan antara suami dan isteri.
7.Suasana rumahtangga yang selesa.

Tuesday, March 2, 2010

SALAM MAULIDUR RASUL


Maksud Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.

Tanda taat dan kasih sayang kita kepada Rasululullah SAW:

1. Pelaksanaan dengan penuh taat segala perintah Allah dan Rasulullah SAW.

2. Mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan.

3. Memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian.

4. Mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW; dan

5. Membanyakkan ucapan selawat dan salam kepada Nabi SAW



RINDUKU YA RASULULLAH..

Ketika manusia hilang arah
Ketika manusia tiada erti kemanusiaan
Ketika manusia bunuh anak hidup-hidup
Ketika manusia menghamba pada berhala
Dan pada ketika itu
Tanggal 12 rabiul awwal
Kau lahir membawa sinar
Kau datang membawa rahmat ke seluruh alam

Kini
Meskipun berabad telah berlalu
Rinduku padamu takkan hilang
Rindu pada suri teladan yang kau berikan
Seorang ayah penuh santun dan kasih sayang
Seorang suami yang penuh tanggungjawab
Seorang pemimpin yang prihatin dan berwawasan
Seorang rasul yang agung cintanya pada umatnya
Meskipun dipertaruhkan jiwa dan nyawanya

Layakkah kita sebagai umatmu
Lupakan sunnah utamakan nafsu serakah
Melampaui di dunia melupai akhirat sana
Ada hasad di jiwa walaupun pada saudara seagama
Utamakan benda walaupun bersifat sementara

Ya Rasulullah
Cahaya sunnahmu takkan redup hingga akhir zaman
Khazanah peninggalanmu pasti untuk kebahagiaan

Ya Rabb
Berilah kami kekuatan
Agar kehidupan kami diikat dengan sunnahnya
Getar jiwa kami tunduk dan patuh pada ajarannya
Basah bibir kami rindu selawat ke atasnya
Kesudahan hidup kami dilimpah syafaat darinya

Abu Alif Fathi
Bangi…..
030310